Jenis-jenis Lesen Memandu

Lesen memandu merupakan dokumen rasmi yang memberi kebenaran kepada seseorang individu untuk mengendalikan sesebuah kenderaan bermotor seperti kereta, motorsikal, lori atau bas. Peraturan pelesenan pemandu adalah berbeza mengikut negara; ada negara yang mewajibkan pemandu untuk lulus ujian memandu sebelum lesen dikeluarkan manakala ada juga negara yang memerlukan pemandu mendapatkan lesen sebelum mula memandu.

Terdapat beberapa kelas lesen memandu yang berbeza mengikut jenis kenderaan. Tahap kesukaran ujian memandu juga adalah berbeza mengikut tahap penguatkuasaan serta beberapa faktor lain seperti umur serta keperluan tahap dan tempoh latihan.

Lesen Memandu Pertama

Mana datangnya lesen memandu pertama?

Dikatakan, lesen kereta pertama di dunia dikeluarkan pada tahun 1888 kepada bapa kereta moden, Karl Benz.v Disebabkan bunyi bising serta bau asap kereta Motorwagen ciptaannya yang menimbulkan bantahan di kalangan penduduk Mannheim, Benz memohon dan menerima kebenaran bertulis dari pihak berkuasa Grand Ducal untuk membolekannya mengendalikan keretanya di atas jalan raya awam.

Sehinggalah permulaan abad ke-20, pihak berkuasa di Eropah mengeluarkan lesen secara adhoc. Pihak berkuasa tempatan yang mula-mula sekali mewajibkan permohonan dan ujian bagi mendapatkan lesen kereta adalah Prussia, pada 29 September 1903.

Lesen memandu wajib diperlukan di Malaysia sebelum seseorang dibenarkan memandu kenderaan bermotor dalam sebarang perihalan di jalan Malaysia, berdasarkan Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenis Lesen Memandu

Terdapat lima jenis lesen memandu di Malaysia iaitu:

  • Lesen Memandu Pelajar (LDL) – diperolehi pelajar sekolah memandu. Lesen ini hanya membenarkan pemegang lesen mengendalikan kereta yang memaparkan plat ‘L’ yang dimiliki oleh sekolah memandu di bawah pengawasan guru sekolah memandu. Bagi pemegang lesen pelajar motosikal, mereka dibenarkan menunggang motosikal tanpa pembonceng. Lesen boleh diperbaharui setiap 3 atau 6 bulan dengan tempoh maksimum 2 tahun. Selepas tempoh tamat 2 tahun, pemegang lesen perlu mengulangi semula prosedur pelajaran memandu dari mula.
  • Lesen Memandu Percubaan (PDL) – diperolehi pemandu baru yang lulus kesemua prosedur pelajaran dan ujian memandu. Pemandu baru tertakluk kepada sistem mata demerit 10 mata KEJARA, di mana mata ditolak mengikut jenis kesalahan trafik. Lesen akan dibatalkan sekiranya pemegang lesen percubaan mengumpul 10 mata demerit. Pemandu percubaan wajib melekatkan plat lesen percubaan (ditandakan dengan huruf P besar berwarna putih di dalam latar belakang merah berbentuk segiempat sama) pada bahagian hadapan dan belakang kenderaan. Lesen percubaan akan dinaiktaraf kepada lesen kompeten penuh selepas 2 tahun, dan tempoh selang selama setahun diberikan untuk menaiktaraf lesen sebelum pemegang lesen perlu mengulangi semula kesemua prosedur pelajaran memandu.
  • Lesen Memandu Kompeten (CDL) – Lesen memandu penuh yang dinaiktaraf daripada lesen percubaan selepas 2 tahun. Pemegang lesen CDL tertakluk kepada sistem mata demerit 15 mata KEJARA sebelum lesen mereta digantung atau dibatalkan. Lesen memandu boleh diperbaharui setiap 1, 2, 3 atau 5 tahun. Tempoh selang selama tiga tahun diberikan untuk memperbaharui lesen sebelum pemegang lesen perlu mengulangi semula kesemua prosedur pelajaran memandu.
  • Lesen Memandu Vokasional (VDL) atau Lesen Memandu Komersial – Lesen memandu khas untuk pemandu kenderaan perdagangan seperti bas dan lori, dikeluarkan bersama oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).
  • Permit Memandu Antarabangsa (IDP) – Lesen memandu antarabangsa untuk membolehkan pemandu Malaysia memandu di luar negara

Kelas-kelas Lesen Memandu

Terdapat beberapa kelas yang tertera di bahagian belakang lesen memandu iaitu:

A   – Kenderaan Orang Cacat (Motosikal) BTM tidak melebihi 450kg
A1 – Kenderaan Orang Cacat (Motokar) BTM tidak melebihi 3500 kg
B   – Motosikal melebihi 500 sp
B1 – Motosikal tidak melebihi 500 sp
B2 – Motosikal tidak melebihi 250 sp
C   – Motosikal Tiga Roda
D   – Motokar BTM tidak melebihi 3500 kg
DA – Motokar Tanpa Pedal Klac BTM tidak melebihi 3500 kg
E    – Motokar Berat BTM melebihi 7500 kg
E1  – Motokar Berat BTM tidak melebihi 7500 kg
E2  – Motokar Berat BTM tidak melebihi 5000 kg
F    – Traktor/Jentera Bergerak Ringan (Beroda) BTM tidak melebihi 5000 kg
G    – Traktor/Jentera Bergerak Ringan (Berantai) BTM tidak melebihi 5000 kg
H    – Traktor/Jentera Bergerak Berat (Beroda) BTM melebihi 5000 kg
I      – Traktor/Jentera Bergerak Berat (Berantai) BTM melebihi 5000 kg

Kelas A1 dan DA baru diperkenalkan, manakala kelas A dan DA baru dipinda.

Penukaran Lesen

Penukaran lesen memandu bagi warga asing kini dibuat lebih mudah. Jika anda dari negara yang ada perjanjian khas dengan Malaysia, anda boleh tukar lesen memandu anda ke lesen Malaysia. Menurut Seksyen 28 Akta Pengangkutan Jalan, warga asing dari negara-negara ASEAN cukup dengan memiliki lesen yang masih sah untuk boleh memandu di Malaysia.

Walaupun begitu, dari tahun 2018 sampai Disember 2020, prosedur ini sempat dihentikan. Dalam tempoh itu, orang asing yang ingin memandu di Malaysia perlu mendapatkan lesen memandu antarabangsa atau daftar di sekolah memandu lokal untuk mendapatkan lesen memandu yang sah di Malaysia.

Berita baiknya, bermula 31 Disember 2020, peraturan telah dilonggarkan. Sekarang, semua warga asing boleh menukar lesen memandu mereka tanpa halangan. Ini memudahkan bagi mereka yang tinggal atau bekerja di Malaysia untuk memandu dengan sah menggunakan lesen dari negara asal mereka, selagi memenuhi syarat perjanjian.

Scroll to Top